Flash Banner Now - instant web ads

Sarimah, Aznil pengacara AF8?

Friday, February 5, 2010 10:09
Posted in category Selebriti Malaysia

19051 291334197020 138105957020 3892227 8194863 n Sarimah, Aznil pengacara AF8?

Biar betul?

AKADEMI Fantasia (AF) bukanlah sebuah program berbentuk pertandingan nyanyian semata-mata. Jika digabungkan sekali segala elemen yang terkandung di dalamnya, ia tidak ubah sebuah drama yang memungkinkan berlakunya pelbagai perkara. Ada ketika watak yang sudah ditiadakan mampu muncul semula, seperti pernah disaksikan menerusi siri Dallas.

Dalam filem juga, banyak sekali watak yang disangka sudah mati, hidup kembali. Lalu, tiada apa yang mustahil apabila bercerita mengenai dunia hiburan era moden ini. Pada ketika elemen realiti semakin menjadi-jadi, maka bukanlah sesuatu yang luar biasa seandainya pengacara asal AF, Aznil Nawawi, kembali mengendalikan program terbabit untuk musim kelapan nanti.

Apatah lagi apabila pada 3 Februari lalu, Astro dengan rasminya mengumumkan ketiadaan AC Mizal dalam rancangan popular berkenaan. Sejak dua musim lalu, AC memikul tanggungjawab sebagai pengacara AF, menggantikan Aznil yang mengumumkan pengundurannya pada konsert final musim kelima.

Ura-ura mengenai kemunculan ‘pengacara baru’ bakal mengendalikan AF8 mula kedengaran sejak awal tahun ini. Menurut Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn Bhd (AESB), Zainir Aminullah pula, keputusan untuk tidak lagi menggunakan khidmat AC sebagai pengacara sudah pun dicapai sejak beberapa bulan lalu.

Akhirnya, khabar angin itu menjadi nyata. Kini, hanya teka-teki mengenai siapa bakal mengendalikan AF8 yang belum terjawab, walaupun banyak juri bagai menuding ke arah Aznil yang sememangnya cukup sinonim dengan program berkenaan.

Sesetengah pemerhati pula meramalkan seorang pengacara lain yang bakal ditampilkan Astro sebagai hosnya. Ada yang menyebut nama Sarimah Ibrahim yang sebelum ini pun bukan asing dalam AF. Bukan mustahil pun kerana pengacara popular itu sebelum ini adalah hos Diari AF selama dua musim berturut-turut. Setakat ini pemerhati hiburan tidak nampak siapa yang bakal menggantikan AC kecuali Aznil dan Sarimah.

Ketiadaan AC dalam musim terbaru, menurut Zainir, dicapai secara persefahaman bersama.

“Kami memaklumkan kepada AC mengenai keputusan penamatan khidmatnya dalam rancangan ini secara baik. Ia bukan dilakukan sekadar menerusi khabar angin. Namun begitu kami hanya mengumumkan perkara ini hari ini (3 Februari) kerana kami juga perlu melihat kepada perkara berkaitan kontrak serta beberapa elemen lain. Kami perlu berhati-hati supaya pengumuman mengenainya dilakukan pada masa yang sesuai.

“Majlis sidang media ini juga diadakan khas untuk AC. Kita adakan majlis tidak formal ini hari ini bagi membolehkan segala soalan berkaitan AC diajukan kepada dirinya sendiri. Jadi, pada hari sidang media AF pada 9 Februari ini, soalan adalah bertumpu kepada AF musim baru semata-mata,” ujar Zainir.

Dia berkata demikian pada sidang media tergempar yang diadakan di sebuah restoran terkemuka di Bangsar. Selain AC sendiri, hadir sama pada majlis makan tengah hari itu ialah Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi.

Kata Zainir, keputusan itu diambil setelah melihat perkembangan AC sendiri sebagai ahli perniagaan yang kian maju sedangkan AF8 pula bakal menagih tanggungjawab yang lebih lagi daripada pengacaranya. Lalu, keputusan bersama dicapai untuk melepaskan bekas anggota kumpulan 4U2C itu pergi.

Namun, Astro akan merangka program lain untuknya sekiranya sebuah lagi program kendaliannya ketika ini, AC?, juga tidak lagi disambung ke musim baru. AC masih bergelar wajah eksklusif Astro selama tiga tahun lagi. Paling tidak, itulah yang dikatakan pelakon ini pada majlis terbabit.

Bagi AC sendiri, AF ialah sebuah program yang begitu besar dan memerlukan komitmen begitu tinggi. Sedangkan, perniagaan yang mula dijalankannya menerusi syarikat AC Konsortium Sdn Bhd semakin berkembang dengan pembukaan beberapa kedai atau bilik pameran di luar negara termasuk China, Indonesia, Macau, Australia dan United Kingdom. Di negara ini, bilik pamerannya bakal dirasmikan di Wisma Central, Jalan Ampang, pada Mac nanti.

Katanya, dek tanggungjawab pada perniagaan yang bukan kecil, dia menerima keputusan Astro untuk tidak lagi membabitkan dirinya pada musim baru program itu. Apatah lagi dia sendiri berasakan selepas 20 tahun terbabit dalam dunia seni, kini tibalah waktunya dia membantu orang ramai pula, yang didakwa mampu menjana pendapatan menerusi pelan perniagaan yang diperkenalkan olehnya.

Begitupun, AC mengaku, pada ketika dia kelegaan apabila tidak lagi memikul tanggungjawab besar sebagai pengacara AF, dia turut berasa sedih apabila meninggalkan program terbabit.

“Saya sedih meninggalkan program ini kerana saya memang bercita-cita untuk menjadi pengacara AF. Saya melihat AF sebagai rancangan hiburan paling tinggi bagi seseorang pengacara. Cabarannya cukup besar bagi seseorang yang berada di atas pentasnya. Kini, saya tidak lagi terbabit dengannya.

“Ketika yang sama, saya lega apabila segala tekanan itu kini tidak lagi terpikul di bahu. Bagaimanapun, saya berbangga kerana pernah menjadi sebahagian daripada program berkenaan. Tidak ada apa lagi yang ingin saya buktikan. Sekarang, tiba masa yang memainkan peranan dalam dunia korporat pula,” kata AC calon Top 5 Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2009 dalam kategori pengacara dan artis komedi lelaki.

*credit BH online

pixel Sarimah, Aznil pengacara AF8?

You can leave a response, or trackback from your own site.

Leave a Reply


 Powered by Max Banner Ads